Isnin, 29 April 2013

berita terkini.

Mayat kanak-Kanak 12 tahun dirogol dan dibunuh
 
 KLANG – Mayat seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai mangsa kes bunuh ditemui di medan letak kereta, Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi, di sini malam tadi.
...
Mayat Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor, 11, ditemui terbaring di bahagian tepi medan letak kereta itu oleh seorang gadis yang kebetulan lalu di situ pada pukul 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Md Yusop berkata gadis berusia 19 tahun itu kemudian memberitahu orang awam di situ untuk melaporkan penemuan itu kepada polis.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi di sini.

Mohamad berkata pemeriksaan awal pihak hospital mendapati Nur Amyliana Shuhada meninggal dunia kurang dari tempoh 24 jam dan tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya, kecuali kesan pendarahan di bahagian kemaluan mangsa.

“Mangsa ditemui mati kira-kira 200 meter dari kawasan rumahnya. Berikutan itu polis menahan dua lelaki yang berasal dari Sabah, yang kita syaki ada kaitan dengan kematian mangsa, untuk membantu siasatan,” katanya.

Suspek yang berusia 19 dan 24 tahun itu ditahan di sekitar lokasi kejadian sejurus selepas polis menerima laporan mengenai kes itu dan direman tujuh hari mulai hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu Acha Kusain, 31, berkata beliau terperanjat bila diberitahu bahawa anaknya ditemui mati dalam keadaan yang amat memilukan itu.

“Kami baru berpindah ke sini dari Kuantan, Pahang dua bulan lepas kerana mengikut suami saya yang bertukar tempat kerja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan rumah mayat HTAR.

Acha berkata Amyliana yang mesra dipanggil Cina oleh keluarga, merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik yang sangat peramah dan paling rapat dengannya.

“Sebelum kejadian dia bermain di sekitar kawasan rumah kira-kira pukul 12.30 tengah hari dan saya ingat dia akan pulang sebelum malam, tapi tak sangka saya bertemunya ketika dia telah tiada,” katanya sebak. – BERNAMA
   

Jumaat, 26 April 2013

Rencana terkini

Interaksi etnik Kurang
Oleh : Syazwany Ismail
 
Kepelbagaian murid dan guru di sekolah kebangsaan seluruh Negara didapati semakin berkurangan dan ia dilihat mewujudkan persekitaran etnik yang homogeny iaitu tertumpu dalam kaum masing-masing di institusi pendidikan tersebut.
   Menurut laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015, trend kini memperlihatkan semakin ramai murid India dan Cina berdaftar di sekolah jenis kebangsaan berbanding 10 tahun yang lalu.
   Ini menunjukkan bahawa terdapat risiko pengurangan kepelbagaian dan percampuran antara antara kumpulan etnik merentas semua jenis, yang seterusnya mengurangkan keupayaan sekolah untuk memupuk perpaduan dengan berkesan melalui interaksi antara etnik.
   Sebagai ruang yang dimiliki bersama untuk semua rakyat, sekolah mempunyai peluang unik sebagai tempat menjalin perpaduan, namun begitu, sehingga kini system tersebut menghadapi kesukaran bagi mengukur perpaduan secara sistematik. 

Rabu, 24 April 2013

kacaknya artis Korea. Oleh : Syazwany Ismail


Siapa yang tak kenal dengan Hero Korea terkemuka Kim Hyun Joong yang digilai para gadis di pelusuk dunia. Ketampanannya membuatkan beliau menjadi pelakon yang semakin laris di pasaran korea. Antara drama yang dilakonkan ialah Playful Kiss, Dream Hight, Boys Over Flowers dan lain-lain lagi. Beliau juga merupakan ahli kumpulan SS501 yang juga popular pada masa kini.

Kerjaya beliau sebagai penyanyi dan pelakon telah menyebabkan nama beliau melonjak naik dalam industri seni di Korea. Beliau juga pernah menjadi artis jemputan di Malaysia bagi memenuhi permintaan masyarakat Malaysia yang ingin menemuinya. Kim Hyun Joong telah datang ke Kuala Lumpur pada tahun 2011 untuk menghiburkan peminatnya di Malaysia.

contoh berita 21 Oktober 2012

Pelajar hasilkan seni lukisan mural
 
KUALA LUMPUR: "Saya ambil masa empat hari untuk menyiapkan lukisan mural ini. Ada kala terpaksa curi masa satu hingga dua jam ketika dan selepas waktu persekolahan," kata Nurin Fathiah Zahrullail.
   Nurin antara peserta yang menyertai pertandingan lukisan mural anjuran SP Setia yang diadakan sempena Setia Community Day, di sini, semalam.
   Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Bukit Pantai itu berkata, galakan bapa dan rakan selain minat mendalam terhadap mural menyebabkan dia terpilih menyertai pertandingan itu.
   "Sebelum ini saya selalu melukis mural di sekolah. Misalnya jika ada perayaan besar seperti Hari Kebangsaan, guru menyuruh saya melukis di dinding sekolah dengan tema yang ditetapkan.
   "Untuk lukisan kali ini, saya tekankan konsep bangunan tinggi serta kehijauan alam di ibu kota. Mujur ada ayah yang sering menemani saya menyiapkan lukisan disamping memberikan semangat," katanya.   

Selasa, 23 April 2013


Penjelajahan Ilmu di IPTA

Kubang Pasu, 11 Mac 2013- Pesta Buku Utara 2013 telah berlangsung di Universiti Utara Malaysia, Sintok Kedah. Pada hari tersebut juga merupakan Majlis Perasmian Pesta Buku dan Pelancaran Jelajah Pesta Buku Ilmiah Malaysia yang dilancarkan oleh Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Mohamed Mustafa Ishak iaitu Naib Canselor UUM. NC UUM turut melancarkan 22 buah buku baru terbitan UUM Press.

Program tersebut merupakan anjuran UUM PRESS dengan kerjasama Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) yang bertempat di Perpustakan Sultanah Bahiyah, UUM. Pesta Buku Utara telah diadakan untuk tahun ketiga dengan bertemakan ‘Cintai Buku Cintai Ilmu’.

Turut hadir dalam Majlis perasmian tersebut ialah Tuan Karim Thukiman yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran (MAPIM), Zulhakim Sanip  wakil Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dan mahasiswa serta mahasiswi UUM.

Pesta buku tersebut mendapat sambutan hangat dari syarikat buku di Malaysia. Hal ini membuktikan bahawa 38 gerai pempamer iaitu  antaranya ialah  Galeri Ilmu Sdn. Bhd, Art Square Creation Sdn Bhd, PTS Media Group Sdn Bhd,  Penerbitan Seribu Dinar Sdn Bhd,  E-Media Publication Sdn Bhd,  Penerbit-penerbit IPTA,  Kumpulan Media Karangkraf,  Fajar Ulung Sdn Bhd,  MOY Publications Sdn Bhd dan lain-lain lagi. Buku-buku yang dijual adalah merupakan penerbit dari UUM, UITM, USM, Universiti Malaya dan lain-lain.

Selain aktiviti jualan buku, terdapat pelbagai aktiviti lain yang menarik bagi memeriahkan pesta tersebut. Antara pengisian aktiviti pesta buku tahun ini ialah Klinik Perundingan Bersama Pengarang,  Hari Bertemu Pelanggan Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Library Info Hunt, Kuiz Online, Pertandingan Mewarna Untuk Kanak-kanak, Puppet Show,  Senamrobik,  Pertandingan Bercerita, Choral Speaking, Program Motivasi Dari Sekolah Ke IPT dan lain-lain.

Berlangsungnya pesta buku tahun ini, ia dapat memberi manfaat kepada para pelajar UUM bagi menggunakan baucer buku dengan sebaik mungkin. Hal ini juga dapat menarik minat mereka  dalam mencari bahan bacaan dan rujukan yang berfaedah.

 

Jumaat, 19 April 2013


Tiga pemuda ditahan akibat dadah

Alor Setar : Semalam, tepat jam 9 pagi tiga orang pemuda Melayu yang berumur lingkungan 19-35 tahun telah ditahan di sebuah bilik motel, Kompleks Sultan Abdul Hamid kerana dipercayai memiliki dadah 1.2 gram jenis heroin.

 Daripada siasatan pihak berkuasa, dadah yang dirampas oleh mereka itu boleh mencecah anggaran harga RM 27 ribu hingga RM 45 ribu. Daripada hasil tangkapan tersebut pihak polis IPD Alor Setar juga menemui beberapa barangan lain iaitu wang tunai berjumlah RM 2, 000, sebuah Proton Satria, empat telefon bimbit dan penimbang elektronik.

Menurut ASP Azman Mohd Jan, ketika ditahan suspek telah merancang ingin mengedar dadah yang dirampas itu di sekitar kawasan Kuala Kedah dan ujian air kencing yang dibuat membuktikan suspek tesebut positif dadah jenis mentavitamin. Ketiga-tiga suspek tersebut akan ditahan dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan dikenakan hukuman mandatori jika disabitkan kesalahan.

Rabu, 17 April 2013

contoh rencana terbaik

Punca-Punca Kemalangan Jalan Raya
Oleh : Nik Tik Hajar Aisyah bt Ismail
 
“Adalah menjadi harapan saya agar rakyat Malaysia akan sentiasa beringat dan berwaspada semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman. Bersama kita jadikan jalan raya kita jalan yang selamat”.
Demikianlah sedutan ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim di Putrajaya baru-baru ini. Peribahasa alah bisa tegal biasa kini telah menjadi sinonim dengan masyarakat Malaysia memandangkan saban hari rakyat Malaysia disajikan dengan berita-berita kemalangan jalan raya yang menyayatkan hati sama ada di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Walaupun OPS Sikap XIII sempena Aidilfitri baru-baru ini berjaya mengurangkan kes kemalangan maut daripada 213 kes kepada 203 kes, namun statistik masih menunjukkan bahawa kemalangan keseluruhan pada tahun ini meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya walaupun pelbagai pihak telah memainkan peranan mereka dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya?
Mengikut kajian yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UTM), sikap pemandu ketika berada di jalan raya merupakan faktor dominan berlakunya kemalangan jalan raya. Memang tidak dapat dinafikan, pemandu marcapada ini memandang enteng terhadap peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.. Buktinya, ramai pemandu yang tidak mematuhi ‘speed limit’ terutamanya ketika memandu di lebuh raya sehingga menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan apabila cuba membelok ke kanan atau ke kiri di selekoh-selekoh jalan. Di sisi itu, risiko untuk seseorang mengalami kecelakaan jalan raya adalah lebih tinggi bagi mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk atau pun mabuk. Hal ini demikian kerana pemandu yang memandu kenderaan ketika mengantuk akan hilang konsentrasi semasa memandu dan secara tidak langsung menyebabkan kenderaan dikawal secara ‘auto-pilot’ yang akhirnya membawa kepada kemalangan jalan raya. Selain itu, sikap sesetengah pemandu yang leka berbual-bual dengan rakan sebelah serta mengggunakan telefon bimbit ketika memandu turut menyebabkan kemalangan. Pernyataan ini diperkuatkan lagi apabila statistik menunjukkan bahawa 94 peratus pengguna jalan raya terlibat dalam kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap acuh tak acuh mereka ketika berada di jalan raya. Pendek kata, kecuaian pemandu ketika di jalan raya merupakan penyumbang utama kemalangan jalan raya.
Bak kata pepatah Melayu, “kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang” kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada sebabnya. Selain daripada faktor manusia, keadaan fizikal jalan raya yang tidak memuaskan turut membawa kepada kemalangan jalan raya. Di samping struktur jalan yang berlekak-lekuk serta mempunyai permukaan yang tidak rata, infrastruktur jalan yang turut gagal berfungsi juga boleh membahayakan pengguna jalan raya khususnya bagi mereka yang memandu pada waktu malam. Seperti yang kita ketahui, rakyat Malaysia gemar memulakan perjalanan mereka pada waktu malam khususnya pada musim perayaan bagi mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas. Namun, ketiadaan lampu jalan di sepanjang jalan raya menyebabkan keadaan sekeliling menjadi gelap dan seterusnya membataskan penglihatan para pemandu terhadap objek di hadapan mereka. Kondisi sebegini bukan sahaja mengganggu tumpuan pemandu malah secara tidak langsung menyebabkan pemandu tidak sedar akan posisi sebenar kenderaan mereka. Tambahan pula, ketiadaan penghadang jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan yang tinggi seperti Genting Highlands meningkatkan lagi risiko untuk sesebuah kenderaan terbabas jatuh ke dalam lembah yang curam. Oleh itu, jelaslah bahawa kemalangan jalan raya turut berlaku apabila prasarana jalan raya berada dalam keadaan yang kurang memuaskan.
Melihat dari perspektif yang berbeza, aktiviti lumba haram yang semakin menjad-jadi juga sering menyebabkan kemalangan maut terutamanya dalam kalangan katak-katak rempit. Tanpa mengira keadaan trafik, para pelumba motosikal haram ini akan berkumpul dan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu. Kodok-kodok rempit ini akan bermaharajalela di jalan-jalan raya dan menjadi pemandu yang beraja di mata dan bersultan di hati dengan aksi-aksi yang membanggakan diri masing-masing. Aksi-aksi lumba haram yang ganas seperti ‘drift and drag’, gaya aerospace dan superman bukan sahaja salah di sisi undang-undang negara, malah membahayakan nyawa penguna jalan raya yang lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Cuba kita bayangkan pelbagai kemungkinan yang akan menimpa pelumba haram yang memecut laju dengan kelajuan 200 kilometer sejam secara tiba-tiba gagal mengawal motosikalnya dan melanggar seorang kanak-kanak. Adakah dia dan kanak-kanak itu masih terselamat? Dan adakah dia akan dibawa ke muka pengadilan setelah menyebabkan kematian seorang kanak-kanak yang tidak berdosa? Maka, tidak hairanlah jika aktiviti lumba haram menjadi salah satu punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya yang kini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Dalam pada itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan juga merupakan punca kecelakaan di jalan raya. Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat serta mampu memberi kesan terhadap psikologi masyarakat tempatan, namun ketidaktegasan dalam pelaksanaan undang-undang sudah pasti membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk terus melakukan kesalahan di jalan raya. Sebagai contoh, akibat daripada ketidakjujuran segelintir pihak berkuasa yang sanggup menerima rasuah, pemandu bas yang mempunyai 13 saman dan dua waran tangkap masih terlepas daripada tindakan undang-undang. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila sebuah bas yang digunakan sejak tahun 1987 serta telah empat kali gagal dalam pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd kerana masalah brek, serta disaman 19 kali oleh pihak polis sejak tahun 1991 dan merekodkan 79 saman daripada pihak JPJ semenjak lima tahun lalu masih lagi dibenarkan beroperasi di jalan raya. Adakah pihak berkuasa terlalu alpa akan tanggungjawab mereka dalam memakmurkan alam sehingga memandang enteng terhadap perkara sebegini? Di manakah terletaknya keadilan dan keunggulan undang-undang negara sehinggakan fenomena sebegini masih diberi muka? Tuntasnya, kelemahan penguatkuasaan undang-undang turut menjadi dalang dalam masalah kemalangan jalan raya.
Secara intihanya, kemalangan maut di jalan raya berpunca daripada pelbagai faktor. Pada hakikatnya, kecelakaan jalan raya bukan sahaja mengakibatkan kecederaan serta menyebabkan banyak nyawa terkorban, malah telah memusnahkan alam sekitar dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di jalan raya. Hal ini secara tidak lansung telah menyumbang kepada kejatuhan ekonomi negara memandangkan pihak kerajaan terpaksa menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk membaik pulih infrastruktur jalan. Oleh hal yang demikian, pelbagai pihak haruslah berganding bahu dalam mencari ikhtiar supaya kadar kemalangan maut jalan raya di Malaysia dapat dikurangkan. Jika negara Beijing berjaya melakukannya, mengapa tidak Malaysia? Malaysia boleh! Insya-Allah.