Isnin, 29 April 2013

berita terkini.

Mayat kanak-Kanak 12 tahun dirogol dan dibunuh
 
 KLANG – Mayat seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai mangsa kes bunuh ditemui di medan letak kereta, Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi, di sini malam tadi.
...
Mayat Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor, 11, ditemui terbaring di bahagian tepi medan letak kereta itu oleh seorang gadis yang kebetulan lalu di situ pada pukul 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Md Yusop berkata gadis berusia 19 tahun itu kemudian memberitahu orang awam di situ untuk melaporkan penemuan itu kepada polis.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi di sini.

Mohamad berkata pemeriksaan awal pihak hospital mendapati Nur Amyliana Shuhada meninggal dunia kurang dari tempoh 24 jam dan tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya, kecuali kesan pendarahan di bahagian kemaluan mangsa.

“Mangsa ditemui mati kira-kira 200 meter dari kawasan rumahnya. Berikutan itu polis menahan dua lelaki yang berasal dari Sabah, yang kita syaki ada kaitan dengan kematian mangsa, untuk membantu siasatan,” katanya.

Suspek yang berusia 19 dan 24 tahun itu ditahan di sekitar lokasi kejadian sejurus selepas polis menerima laporan mengenai kes itu dan direman tujuh hari mulai hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu Acha Kusain, 31, berkata beliau terperanjat bila diberitahu bahawa anaknya ditemui mati dalam keadaan yang amat memilukan itu.

“Kami baru berpindah ke sini dari Kuantan, Pahang dua bulan lepas kerana mengikut suami saya yang bertukar tempat kerja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan rumah mayat HTAR.

Acha berkata Amyliana yang mesra dipanggil Cina oleh keluarga, merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik yang sangat peramah dan paling rapat dengannya.

“Sebelum kejadian dia bermain di sekitar kawasan rumah kira-kira pukul 12.30 tengah hari dan saya ingat dia akan pulang sebelum malam, tapi tak sangka saya bertemunya ketika dia telah tiada,” katanya sebak. – BERNAMA
   

Jumaat, 26 April 2013

Rencana terkini

Interaksi etnik Kurang
Oleh : Syazwany Ismail
 
Kepelbagaian murid dan guru di sekolah kebangsaan seluruh Negara didapati semakin berkurangan dan ia dilihat mewujudkan persekitaran etnik yang homogeny iaitu tertumpu dalam kaum masing-masing di institusi pendidikan tersebut.
   Menurut laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015, trend kini memperlihatkan semakin ramai murid India dan Cina berdaftar di sekolah jenis kebangsaan berbanding 10 tahun yang lalu.
   Ini menunjukkan bahawa terdapat risiko pengurangan kepelbagaian dan percampuran antara antara kumpulan etnik merentas semua jenis, yang seterusnya mengurangkan keupayaan sekolah untuk memupuk perpaduan dengan berkesan melalui interaksi antara etnik.
   Sebagai ruang yang dimiliki bersama untuk semua rakyat, sekolah mempunyai peluang unik sebagai tempat menjalin perpaduan, namun begitu, sehingga kini system tersebut menghadapi kesukaran bagi mengukur perpaduan secara sistematik. 

Rabu, 24 April 2013

kacaknya artis Korea. Oleh : Syazwany Ismail


Siapa yang tak kenal dengan Hero Korea terkemuka Kim Hyun Joong yang digilai para gadis di pelusuk dunia. Ketampanannya membuatkan beliau menjadi pelakon yang semakin laris di pasaran korea. Antara drama yang dilakonkan ialah Playful Kiss, Dream Hight, Boys Over Flowers dan lain-lain lagi. Beliau juga merupakan ahli kumpulan SS501 yang juga popular pada masa kini.

Kerjaya beliau sebagai penyanyi dan pelakon telah menyebabkan nama beliau melonjak naik dalam industri seni di Korea. Beliau juga pernah menjadi artis jemputan di Malaysia bagi memenuhi permintaan masyarakat Malaysia yang ingin menemuinya. Kim Hyun Joong telah datang ke Kuala Lumpur pada tahun 2011 untuk menghiburkan peminatnya di Malaysia.

contoh berita 21 Oktober 2012

Pelajar hasilkan seni lukisan mural
 
KUALA LUMPUR: "Saya ambil masa empat hari untuk menyiapkan lukisan mural ini. Ada kala terpaksa curi masa satu hingga dua jam ketika dan selepas waktu persekolahan," kata Nurin Fathiah Zahrullail.
   Nurin antara peserta yang menyertai pertandingan lukisan mural anjuran SP Setia yang diadakan sempena Setia Community Day, di sini, semalam.
   Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Bukit Pantai itu berkata, galakan bapa dan rakan selain minat mendalam terhadap mural menyebabkan dia terpilih menyertai pertandingan itu.
   "Sebelum ini saya selalu melukis mural di sekolah. Misalnya jika ada perayaan besar seperti Hari Kebangsaan, guru menyuruh saya melukis di dinding sekolah dengan tema yang ditetapkan.
   "Untuk lukisan kali ini, saya tekankan konsep bangunan tinggi serta kehijauan alam di ibu kota. Mujur ada ayah yang sering menemani saya menyiapkan lukisan disamping memberikan semangat," katanya.   

Selasa, 23 April 2013


Penjelajahan Ilmu di IPTA

Kubang Pasu, 11 Mac 2013- Pesta Buku Utara 2013 telah berlangsung di Universiti Utara Malaysia, Sintok Kedah. Pada hari tersebut juga merupakan Majlis Perasmian Pesta Buku dan Pelancaran Jelajah Pesta Buku Ilmiah Malaysia yang dilancarkan oleh Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Mohamed Mustafa Ishak iaitu Naib Canselor UUM. NC UUM turut melancarkan 22 buah buku baru terbitan UUM Press.

Program tersebut merupakan anjuran UUM PRESS dengan kerjasama Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) yang bertempat di Perpustakan Sultanah Bahiyah, UUM. Pesta Buku Utara telah diadakan untuk tahun ketiga dengan bertemakan ‘Cintai Buku Cintai Ilmu’.

Turut hadir dalam Majlis perasmian tersebut ialah Tuan Karim Thukiman yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran (MAPIM), Zulhakim Sanip  wakil Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dan mahasiswa serta mahasiswi UUM.

Pesta buku tersebut mendapat sambutan hangat dari syarikat buku di Malaysia. Hal ini membuktikan bahawa 38 gerai pempamer iaitu  antaranya ialah  Galeri Ilmu Sdn. Bhd, Art Square Creation Sdn Bhd, PTS Media Group Sdn Bhd,  Penerbitan Seribu Dinar Sdn Bhd,  E-Media Publication Sdn Bhd,  Penerbit-penerbit IPTA,  Kumpulan Media Karangkraf,  Fajar Ulung Sdn Bhd,  MOY Publications Sdn Bhd dan lain-lain lagi. Buku-buku yang dijual adalah merupakan penerbit dari UUM, UITM, USM, Universiti Malaya dan lain-lain.

Selain aktiviti jualan buku, terdapat pelbagai aktiviti lain yang menarik bagi memeriahkan pesta tersebut. Antara pengisian aktiviti pesta buku tahun ini ialah Klinik Perundingan Bersama Pengarang,  Hari Bertemu Pelanggan Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Library Info Hunt, Kuiz Online, Pertandingan Mewarna Untuk Kanak-kanak, Puppet Show,  Senamrobik,  Pertandingan Bercerita, Choral Speaking, Program Motivasi Dari Sekolah Ke IPT dan lain-lain.

Berlangsungnya pesta buku tahun ini, ia dapat memberi manfaat kepada para pelajar UUM bagi menggunakan baucer buku dengan sebaik mungkin. Hal ini juga dapat menarik minat mereka  dalam mencari bahan bacaan dan rujukan yang berfaedah.

 

Jumaat, 19 April 2013


Tiga pemuda ditahan akibat dadah

Alor Setar : Semalam, tepat jam 9 pagi tiga orang pemuda Melayu yang berumur lingkungan 19-35 tahun telah ditahan di sebuah bilik motel, Kompleks Sultan Abdul Hamid kerana dipercayai memiliki dadah 1.2 gram jenis heroin.

 Daripada siasatan pihak berkuasa, dadah yang dirampas oleh mereka itu boleh mencecah anggaran harga RM 27 ribu hingga RM 45 ribu. Daripada hasil tangkapan tersebut pihak polis IPD Alor Setar juga menemui beberapa barangan lain iaitu wang tunai berjumlah RM 2, 000, sebuah Proton Satria, empat telefon bimbit dan penimbang elektronik.

Menurut ASP Azman Mohd Jan, ketika ditahan suspek telah merancang ingin mengedar dadah yang dirampas itu di sekitar kawasan Kuala Kedah dan ujian air kencing yang dibuat membuktikan suspek tesebut positif dadah jenis mentavitamin. Ketiga-tiga suspek tersebut akan ditahan dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan dikenakan hukuman mandatori jika disabitkan kesalahan.

Rabu, 17 April 2013

contoh rencana terbaik

Punca-Punca Kemalangan Jalan Raya
Oleh : Nik Tik Hajar Aisyah bt Ismail
 
“Adalah menjadi harapan saya agar rakyat Malaysia akan sentiasa beringat dan berwaspada semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman. Bersama kita jadikan jalan raya kita jalan yang selamat”.
Demikianlah sedutan ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim di Putrajaya baru-baru ini. Peribahasa alah bisa tegal biasa kini telah menjadi sinonim dengan masyarakat Malaysia memandangkan saban hari rakyat Malaysia disajikan dengan berita-berita kemalangan jalan raya yang menyayatkan hati sama ada di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Walaupun OPS Sikap XIII sempena Aidilfitri baru-baru ini berjaya mengurangkan kes kemalangan maut daripada 213 kes kepada 203 kes, namun statistik masih menunjukkan bahawa kemalangan keseluruhan pada tahun ini meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya walaupun pelbagai pihak telah memainkan peranan mereka dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya?
Mengikut kajian yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UTM), sikap pemandu ketika berada di jalan raya merupakan faktor dominan berlakunya kemalangan jalan raya. Memang tidak dapat dinafikan, pemandu marcapada ini memandang enteng terhadap peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.. Buktinya, ramai pemandu yang tidak mematuhi ‘speed limit’ terutamanya ketika memandu di lebuh raya sehingga menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan apabila cuba membelok ke kanan atau ke kiri di selekoh-selekoh jalan. Di sisi itu, risiko untuk seseorang mengalami kecelakaan jalan raya adalah lebih tinggi bagi mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk atau pun mabuk. Hal ini demikian kerana pemandu yang memandu kenderaan ketika mengantuk akan hilang konsentrasi semasa memandu dan secara tidak langsung menyebabkan kenderaan dikawal secara ‘auto-pilot’ yang akhirnya membawa kepada kemalangan jalan raya. Selain itu, sikap sesetengah pemandu yang leka berbual-bual dengan rakan sebelah serta mengggunakan telefon bimbit ketika memandu turut menyebabkan kemalangan. Pernyataan ini diperkuatkan lagi apabila statistik menunjukkan bahawa 94 peratus pengguna jalan raya terlibat dalam kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap acuh tak acuh mereka ketika berada di jalan raya. Pendek kata, kecuaian pemandu ketika di jalan raya merupakan penyumbang utama kemalangan jalan raya.
Bak kata pepatah Melayu, “kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang” kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada sebabnya. Selain daripada faktor manusia, keadaan fizikal jalan raya yang tidak memuaskan turut membawa kepada kemalangan jalan raya. Di samping struktur jalan yang berlekak-lekuk serta mempunyai permukaan yang tidak rata, infrastruktur jalan yang turut gagal berfungsi juga boleh membahayakan pengguna jalan raya khususnya bagi mereka yang memandu pada waktu malam. Seperti yang kita ketahui, rakyat Malaysia gemar memulakan perjalanan mereka pada waktu malam khususnya pada musim perayaan bagi mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas. Namun, ketiadaan lampu jalan di sepanjang jalan raya menyebabkan keadaan sekeliling menjadi gelap dan seterusnya membataskan penglihatan para pemandu terhadap objek di hadapan mereka. Kondisi sebegini bukan sahaja mengganggu tumpuan pemandu malah secara tidak langsung menyebabkan pemandu tidak sedar akan posisi sebenar kenderaan mereka. Tambahan pula, ketiadaan penghadang jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan yang tinggi seperti Genting Highlands meningkatkan lagi risiko untuk sesebuah kenderaan terbabas jatuh ke dalam lembah yang curam. Oleh itu, jelaslah bahawa kemalangan jalan raya turut berlaku apabila prasarana jalan raya berada dalam keadaan yang kurang memuaskan.
Melihat dari perspektif yang berbeza, aktiviti lumba haram yang semakin menjad-jadi juga sering menyebabkan kemalangan maut terutamanya dalam kalangan katak-katak rempit. Tanpa mengira keadaan trafik, para pelumba motosikal haram ini akan berkumpul dan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu. Kodok-kodok rempit ini akan bermaharajalela di jalan-jalan raya dan menjadi pemandu yang beraja di mata dan bersultan di hati dengan aksi-aksi yang membanggakan diri masing-masing. Aksi-aksi lumba haram yang ganas seperti ‘drift and drag’, gaya aerospace dan superman bukan sahaja salah di sisi undang-undang negara, malah membahayakan nyawa penguna jalan raya yang lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Cuba kita bayangkan pelbagai kemungkinan yang akan menimpa pelumba haram yang memecut laju dengan kelajuan 200 kilometer sejam secara tiba-tiba gagal mengawal motosikalnya dan melanggar seorang kanak-kanak. Adakah dia dan kanak-kanak itu masih terselamat? Dan adakah dia akan dibawa ke muka pengadilan setelah menyebabkan kematian seorang kanak-kanak yang tidak berdosa? Maka, tidak hairanlah jika aktiviti lumba haram menjadi salah satu punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya yang kini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Dalam pada itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan juga merupakan punca kecelakaan di jalan raya. Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat serta mampu memberi kesan terhadap psikologi masyarakat tempatan, namun ketidaktegasan dalam pelaksanaan undang-undang sudah pasti membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk terus melakukan kesalahan di jalan raya. Sebagai contoh, akibat daripada ketidakjujuran segelintir pihak berkuasa yang sanggup menerima rasuah, pemandu bas yang mempunyai 13 saman dan dua waran tangkap masih terlepas daripada tindakan undang-undang. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila sebuah bas yang digunakan sejak tahun 1987 serta telah empat kali gagal dalam pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd kerana masalah brek, serta disaman 19 kali oleh pihak polis sejak tahun 1991 dan merekodkan 79 saman daripada pihak JPJ semenjak lima tahun lalu masih lagi dibenarkan beroperasi di jalan raya. Adakah pihak berkuasa terlalu alpa akan tanggungjawab mereka dalam memakmurkan alam sehingga memandang enteng terhadap perkara sebegini? Di manakah terletaknya keadilan dan keunggulan undang-undang negara sehinggakan fenomena sebegini masih diberi muka? Tuntasnya, kelemahan penguatkuasaan undang-undang turut menjadi dalang dalam masalah kemalangan jalan raya.
Secara intihanya, kemalangan maut di jalan raya berpunca daripada pelbagai faktor. Pada hakikatnya, kecelakaan jalan raya bukan sahaja mengakibatkan kecederaan serta menyebabkan banyak nyawa terkorban, malah telah memusnahkan alam sekitar dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di jalan raya. Hal ini secara tidak lansung telah menyumbang kepada kejatuhan ekonomi negara memandangkan pihak kerajaan terpaksa menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk membaik pulih infrastruktur jalan. Oleh hal yang demikian, pelbagai pihak haruslah berganding bahu dalam mencari ikhtiar supaya kadar kemalangan maut jalan raya di Malaysia dapat dikurangkan. Jika negara Beijing berjaya melakukannya, mengapa tidak Malaysia? Malaysia boleh! Insya-Allah.

Isnin, 15 April 2013

Karya Pelajar (contoh penulisan rencana)

Disiplin Asas kejayaan Akademik
Oleh : Hamidah Hashim
 
 
Alah bisa tegal biasa, sememangnya amat sukar untuk menanam disiplin yang tinggi dalam diri seseorang apatah lagi bagi seseorang yang bergelar pelajar. Namun, sekiranya pelajar tersebut telah dididik dan diasuh oleh ibu bapa agar terdidik dengan disiplin yang tinggi, pastinya amat sukar untuk menafikan bahawa pelajar tersebut akan terus-menerus mencipta kejayaan dalam akademik. Malangnya, harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kita dapat lihat anak muda pada hari ini begitu angkuh dan bangga sekiranya mereka melakukan perkara-perkara yang melanggar prinsip disiplin. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), ada menyentuh mengenai pembangunan modal insan iaitu aset negara yang perlu disuntik nilai tambahnya. Perkara seumpama ini memberi gambaran kepada kita bahawa kerajaan sendiri telah menyedari bahawa tahap disiplin para pelajar pada hari ini semakin kronik. Sememangnya, tiada bukti yang cukup padu untu menafikan bahawa "Disiplin Asas Kejayaan Akademik".
Disiplin mampu melatih pelajar supaya lebih peka dan bijak dalam mengatur serta menyusun masa. Malah apa-apa yang lebih bernilai ialah disiplin mengajar para pelajar bagaimana untuk mematuhi masa tersebut. Pujangga Arab melalui kata-katanya Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, dia akan memotong kamu , jelas memberitahu kita bahawa masa itu amat penting untuk ditepati agar tidak terbuang begitu sahaja. Oleh sebab itulah disiplin perlu dipupuk dalam jiwa setiap pelajar kerana merekalah yang bakal mencorak landskap pembangunan material, fizikal dan sosial pada era revolusi digital akan datang. Namun sesiapapun dapat berfikir bahawa sikap malas adalah musuh ketat amalan hidup berdisiplin. Olah sebab itulah, sokongan daripada ibu bapa serta usaha padu daripada pihak kerajaan adalah sesuatu yang amat diperlukan bagi mengubah perspektif pelajar tersebut sekali gus mengikis perasaan malas. Sekiranya para pelajar diasuh dengan norma hidup berdisiplin, secara tidak langsung mereka akan menyedari betapa berharganya setiap saat yang dilalui dalam hidup mereka. Hal ini akan menjadi satu inisiatif kepada mereka agar tidak menyia-yiakan masa tersebut dengan gejala-gejala sosial yang semakin menjerat remaja kita kini. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa masa itu ibarat emas bagi diri seseorang yang memiliki serta mengenali apa itu erti disiplin yang sebenarnya.
Tidak cukup dengan itu, disiplin turut dapat memupuk jati diri yang ampuh dalam diri pelajar. Disiplin mengajar pelajar supaya tegas dengan prinsip dan nilai moral pelajar itu sendiri. Sebagai contoh, di kem tentera, matlamat utama ialah membentuk jati diri bagi menanam semangat cinta akan tanah air serta berani dan tegas dalam perjuangan menentang musuh. Sebab itulah mereka dilatih supaya memiliki tahap disiplin yang tinggi bagi mencapai matlamat tersebut. Bagi seseorang pelajar pula, disiplin akan menjadikan mereka ini sebagai seorang yang rajin, tekun , berkeyakinan tinggi dan gemar menyahut cabaran yang secara tidak langsung akan lahirlah pelajar yang memiliki jati diri dalam rohani dan jasmani mereka. Kualiti seumpama inilah yang amat diperlukan oleh seorang pelajar bagi meraih kecemerlangan dalam bidang akademik. Dengan mempraktikkan amalan hidup yang penuh dengan disiplin, pelajar itu sendiri tidak akan terpesong daripada norma hidup yang teratur serta memberi banyak faedah kepada pelajar. Melalui jati diri yang diperoleh hasil daripada norma hidup yang teratur dan berdisiplin, pelajar pastinya akan bersungguh-sungguh menimba ilmu bagi mencapai matlamat yang satu sebagai pelajar. Justeru, jelaslah di sini bahawa, disiplin ibarat tiang tumah yang menjadi tunjang utama kekukuhan jati diri dalam diri para pelajar.
Seterusnya, disiplin turut mampu memelihara para pelajar supaya tidak terjebak dalam gejala-gejala sosial yang mampu memusnahkan masa depan tanpa disedari oleh pelajar itu sendiri. Tanpa disiplin, pelajar tidak akan ada matlamat yang jelas serta tidak tahu tanggungjawab mereka sebagai pelajar. Tanpa matlamat yang jelas ini, pelajar cenderung untuk mencari keseronokan hidup bersama rakan-rakan yang berpendirian sama seperti mereka yang tidak meletakkan pelajaran sebagai sesuatu yang amat bernilai dalam minda dan jiwa mereka. Ternyata hasrat Perdana Menteri yang bercita-cita mahu melahirkan warga glokal yang berakar nasional dan berakal internasional tidak akan tercapai sekiranya tahap disiplin para pelajar semakin terus -menerus menunjukkan penurunan. Kita dapat lihat pada hari ini, terlalu ramai anak muda yang majoritinya ialah pelajar telah terjebak dalam kancah sosial yang akhirnya pasti akan merugikan negara. Mereka inilah yang tidak memiliki disiplin untuk mengawal diri mereka daripada terjebak dalam perkara tersebut. Sudah pastilah pelajar yang langsung tidak melakukan aktiviti-aktiviti ini akan menjadi pelajar yang cemerlang rohani, jasmani dan intelek. Sekali lagi, hal ini menjadi bukti yang cukup ampuh untuk menyatakan bahawa disiplin asas kejayaan akademik. Justeru , jelaslah bahawa disiplin adalah kontra kepada gejala-gejala sosial.
Kita telah menyedari bahawa disiplin dapat membuka mata pelajar tentang nilai sesaat masa, disiplin juga telah melahirkan bakal pmimpin yang memiliki jati diri yang cukup ampuh untuk mentadbir negara suatu hari nanti, malah disiplin dapat membantu pelajar menentukan wawasan dan hala tuju yang jelas. Tokoh falsafah Barat, Cecil B. De Mille melalui kata-katanya, Orang yang berjaya ialah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang . Hal ini memberi gambaran kepada kita bahawa tanpa disiplin itu, tidak perlulah kita bermimpi untuk meraih kejayaan. Para pelajar harus mengetahui bahawa sememangnya menentukan wawasan serta hala tuju adalah amat penting seperti yang dinyatakan dalam buku teks Pendidikan Sivik dan kewarganegaraan Tingkatan Empat. Dengan adanya disiplin, pelajar tersebut akan terus berusaha dan berusaha untuk mencapai wawasan tersebut. Pelajar yang tidak memiliki disiplin pastinya tidak terfikir untuk menentukan matlamat hidup. Oleh sebab itulah, ramai pelajar yang hanya memikirkan keseronokan hidup semata-mata tanpa memikirkan impak perbuatan mereka terhadap masa depan. Sebagai intiha, sememangnya disiplin amat penting dalam menentukan wawasan hidup serta berusaha mengejar wawasan tersebut. Tahap disiplin yang tinggi membantu pelajar mengukir sejarah yang tersendiri.
Natijahnya, tidak ada jalan pintas yang lain untuk meraih kecemerlangan dan kegemilangan tanpa memiliki serta mempraktikkan amalan hidup berdisiplin. Hakikatnya, walau berapa banyak cara yang kita ketahui untuk mencapai kejayaan, tetapi tanpa adanya disiplin, kita tidak akan mampu untuk melaksanakan cara itu dengan teratur apatah lagi dengan berkesan. Pujangga Melayu ada mengatakan bahawa belia pada hari ini adalah cerminan negara pada masa akan datang. Sesekali kita melihat sekali lalu remaja kita pada hari ini yang begitu ghairah dengan kemewahan serta keseronokan yang ada. Hari ini telah timbul berbagai-bagai jenis masalah sosial seperti dadah, merokok, ponteng sekolah, buli, pergaduhan dan lain-lain. Kadangkala, perkara-perkara ini membuat saya terfikir, inikah generasi cerminan negara pada masa akan datang? kita menyedari, semua pihak tidak sesekali memandang enteng masalah ini. Namun , kita sendiri pastinya bersetuju bahawa amat sukar untuk mengembalikan seseorang kembali ke pangkal jalan.

Sabtu, 30 Mac 2013



Kebersihan Menjamin Kesejahteraan

CHANGLUN, 30 MAC 2013- Permuafakatan membawa berkah! Begitulah yang berlaku di Dewan Penginapan Pelajar(DPP) Bank Muamalat, Universiti Utara Malaysia(UUM).
Semalam, satu aktiviti gotong royong telah diadakan bagi mengekalkan kebersihan DPP Bank Muamalat. Hampir seramai 300 orang yang terlibat di kalangan mahasisiwi DPP tersebut.

Semuanya memberi kerjasama yang amat memuaskan. Sebelum memulakan aktiviti tersebut, kami melakukan senaman arobik bagi mencergaskan badan pada pagi tersebut.

Antara kawasan yang dibersih ialah pantri, surau, dataran DPP, kawasan blok dan lain-lain lagi. Anjuran aktiviti ini bukan sahaja dapat menjamin kebersihan dan sesejahteraan tetapi dapat mengeratkan hubungan pelajar di DPP tersebut.
 Akhir aktiviti gotong royong tersebut, jamuan diadakan untuk pelajar yang terlibat dalam aktiviti ini. Secara keseluruhan, aktiviti gotong royong DPP Bank Muamalat berjalan dengan jayanya.

Jumaat, 29 Mac 2013


Hari Polis Ke-206: Dedikasi Buat Pewira Negara

Bukit Aman, 28 Mac - 'Sayu dan penuh beremosi'- itulah yang sewajarnya digambarkan sempena sambutan Peringatan Hari Polis yang diadakan pada 25 Mac lalu.
Biarpun sudah tiga hari berlalu, namun sebilangan ramai rakyat Malaysia masih terkesan dengan dengan sambutan hari polis pada kali ini, terutamanya apabila kisah perwira-perwira negara yang terkorban didendangkan sebagai intipati utama sambutan hari polis pada tahun ini.

Biarpun negara masih dikejutkan dengan insiden berdarah di Sabah, impak daripada peristiwa ini cukup memberikan makna yang mendalam terhadap seluruh rakyat Malaysia, pasukan-pasukan keselamatan khasnya di mana semangat kenegaraaan dan patriotisme bagaikan disentap dan terus memuncak dalam sanubari mereka.

Lantaran semangat telah dizahirkan sempena Hari Polis ke-206 ini, ternyata mesej utama sambutan telah berjaya disampaikan, dan semangat cintakan negara dan keamanan telah berjaya 'dilahirkan semula' sekaligus menangkis persepsi negatif terhadap Polis Diraja Malaysia.

SELAMAT HARI POLIS KE 206!

Selasa, 26 Mac 2013

Contoh Berita Terkini


Dadah Dalam Kasut

BUKIT AMAN, 26 Mac 2013 – Bertempat di Dewan theatrette, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah mengadakan sesi sidang media berkenaan kejayaan PDRM menumpaskan tiga kes aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah yang melibatkan warga asing dan warga tempatan. Semua yang berjaya diberkas adalah seramai lapan orang iaitu tujuh lelaki dan seorang perempuan. Empat lelaki warga Nigeria,satu lelaki warga seira leone,satu lelaki Pakistan serta satu lelaki warganegara tempatan. Turut ditahan ialah seorang perempuan warga Indonesia.
Kes pertama berlaku pada 21 Mac 2013 lebih kurang jam 11.00 malam, JSJN Bukit Aman telah berjaya menangkap seorang lelaki warganegara Pakistan di KLIA yang tiba dengan penerbangan Qatar Airways dari Doha ke Malaysia dan berjaya merampas 850 Gram dadah jenis Syabu dan berjaya membongkar modes operandi terbaru yang digunakan oleh keldai dadah iaitu dengan cara menyembunyikan dadah di dalam pelapik kasut yang telah diubahsuai.

Dalam kes kedua yang berlaku Pada 21 Mac 2013 lebih kurang jam 11.10 malam, JSJN Bukit Aman telah membuat serbuan ke atas sebuah kereta Honda Accord di kawasan Kampung Rawa, Georgetown Pulau Pinang dan berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pengedar dadah yang bergiat aktif sekitar Pulau Pinang dan Kedah. Kejayan tersebut membawa kepada rampasan 16 Kilogram dadah jenis Heroin,50 Gram dadah jenis Syabu dan wang tunai berjumlah RM 5371.00.

Pada 24 Mac 2013 lebih kurang jam 9.20 pagi, satu lagi cubaan penyeludupan dadah berjaya dipatahkan PDRM apabila seorang perempuan warganegara Indonesia berjaya ditangkap seterusnya membawa kepada penangkapan empat lelaki Nigeria dan seorang lelaki Sierra Leone yang disyaki menjadi dalang dalam sindiket ini.
Kesemua dadah yang dirampas bernilai RM637,000.00 dan kini ditahan untuk siasatan lanjut dibawah SEK.39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.

 

Isnin, 25 Mac 2013



Walaupun Berbeza Tetapi Hati Tetap Serupa
BALING, 25 Mac 2013- Terpegun! Itulah perasaan yang dirasakan oleh saya dan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang lain. Saya bersama sembilan rakan yang lain telah mengikuti program‘Silang Budaya’ yang dianjurkan oleh Persatuan My Heart Kedah di daerah Baling pada 22 hingga 24 Mac yang lalu. Kami disambut mesra oleh masyarakat India yang tinggal di perkampungan ladang kawasan Kuala Ketil.
Perasaan ingin tahu mengenai kehidupan, adat dan budaya bangsa lain antara kami pelajar UUM telah membawa kami ke perkampungan orang india yang berhampiran ladang getah dan kelapa sawit berhampiran daerah tersebut.

Program tiga hari dua malam ini penuh dengan memori bersama keluarga angkat kami yang berbangsa India. Walaupun berlainan budaya tetapi mereka menghormati kami dan menganggap kami seperti anak sendiri. Sayu perasaan kami apabila dilayan dengan baik oleh mereka sekeluarga.
Antara program yang dianjurkan ialah menonton bola bersama-sama, aktiviti gotong royong, sukaneka bersama kanak-kanak India, aktiviti menyanyi sambil belajar, masak dan makan bersama keluarga angkat dan memakai pakaian tradisional mereka semasa majlis penutup.

 

 

Sabtu, 23 Mac 2013

Pengetahuan semasa (contoh)

Pertahan Keamanan Tanggungjawab Generasi Bersama
 
BUKIT AMAN, 22 Mac 2013– Hari ini telah diadakan siaran langsung solat Jumaat terus dari  Masjid Bukit Aman oleh Radio Television Malaysia (RTM).
Khutbah solat Jumaat hari ini yang bertajuk "Pengawal Keamanan" menyentuh tentang kepentingan generasi muda harus mensyukuri nikmat keamanan yang dikecapi dan kepentingan mempertahankannya.
 
Ini berkaitan dengan isu pencerobohan di Lahad Datu yang merupakan tragedi berdarah dan akan tersemat di dalam lipatan sejarah negara.
 
Turut hadir sama mengimarahkan solat pada hari ini, YDH Tan Sri Dato' Seri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara, Pengarah-pengarah PDRM, Timbalan-timbalan Pengarah PDRM, Pegawai-pegawai Kanan PDRM, Pegawai-pegawai awam PDRM dan masyarakat setempat.
 

Sabtu, 16 Mac 2013

Berita Semasa (contoh)


PGPF Sumbang RM 80,000 Untuk Tabung Pewira Lahad Datu 

KUALA LUMPUR, 15 Mac 2013 - Mantan Perdana Menteri Malaysia selaku Presiden Perdana Global Peace Foundation (PGPF), Y.A.Bhg Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyumbangkan sejumlah RM 80,000 kepada Tabung Perwira Lahad Datu di Bangunan Yayasan Al-Bukhari, hari ini.
Sumbangan telah disampaikan kepada YDH Tan Sri Dato' Sri Khalid bin Abu Bakar yang mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan disaksikan oleh Y.Bhg Tan Sri Norian Mai, mantan Ketua Polis Negara yang juga merupakan pengerusi PGPF.

Majlis anjuran PGPF tersebut turut diserikan dengan kehadiran Y.A.Bhg Tun Dr. Siti Hasmah hj. Mohd Ali, isteri kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Pengarah-pengarah,Timbalan-timbalan Pengarah PDRM serta wakil-wakil media.

Rabu, 13 Mac 2013

Contoh Berita


Polis Tumpaskan Sindiket Dadah Warga Asing

BUKIT AMAN, 12 Mac 2013 – Sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang aktif sejak tahun lalu tumpas dengan tertangkapnya 10 warganegara asing bersama kira-kira 10.1kg heroin dan 1.2kg syabu pada 9 Mac lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, YDH Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, kejayaan itu adalah berdasarkan beberapa siri tangkapan terhadap ahli sindiket tersebut di sekitar Subang Jaya dan Petaling Jaya, dekat sini.

Menurutnya, dalam serbuan berkenaan, pihaknya turut menyita sejumlah wang tunai bernilai RM21,678 dan USD1,100.

“Sindiket dadah yang didalangi oleh warga Nigeria ini bertanggungjawab membawa masuk dadah tersebut dari Pakistan dan Nigeria dengan menggunakan pelbagai jenis modus operandi penyeludupan.
“Semasa tangkapan dijalankan, seorang suspek warga Nigeria yang merupakan ketua sindiket ini terjatuh dalam cubaan melarikan diri dan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Siasatan mendapati sindiket berkenaan bertanggungjawab membawa masuk dadah jenis heroin dari Pakistan dan syabu dari Nigeria dengan menggunakan pelbagai modus operandi penyeludupan.
“Kita percaya dadah yang dirampas adalah untuk pasaran tempatan dan pasaran luar negara.“Polis turut menahan enam lelaki warga Nigeria, seorang lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga Republik Guinea, seorang lelaki warga Afrika Selatan dan seorang wanita warga Thailand untuk siasatan lanjut,” katanya.

YDH Datuk Noor Rashid berkata, kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan umur 28 hingga 41 tahun itu turut didapati memiliki visa pelajar.Kes itu katanya, akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ahad, 3 Mac 2013

PERMULAAN LAMAN BLOGGER SYAZWANY

Ahad, 3 Mac 2013- Hari ini ialah penulisan laman permulaan catatan blog saya. Sebagai seseorang yang meminati kerjaya wartawan saya ingin menjadikan blog saya sebagai tempat untuk memaparkan berita atau rencana yang ditulis oleh saya. Dalam blog saya, berita yang dipaparkan adalah berdasarkan kehidupan yang saya lalui sendiri ataupun mengenai masyarakat umum. Bagi memulakan blog saya ingin mengucapkan terima kasih bagi sesiapa yang mengikuti laman blog ini.